Thursday, December 6, 2018

Songkhla Khu Khut Waterfowl Park

Berkeluasan sekitar 91,000 ekar, Khu Khut Waterfowl Park merupakan lokasi yang perlu dilawati oleh pencinta alam semulajadi, flora dan fauna. Di sini terdapat lebih daripada 200 jenis burung. Sekiranya anda sekeluarga ingin menyaksikan keajaiban alam ini dengan sepuas hati, waktu yang terbaik adalah dari bulan Disember sehingga Mac dengan menaiki bot yang disediakan. Jangan lupa untuk merakamkan saat-saat indah anak kecil anda teruja melihat alam di sekitarnya. Alamat: Moo 4, Khu Khut, Sathing Phra, Songkhla 90190 Thailand

Hatyai Sports Shooting Club Hatyai (SSC)

Anda rasa Hat Yai hanya ada tokong Buddha, alam semulajadi dan pasar je? Jangan tak tahu tentang kewujudan kelab menembak Sports Shooting Club Hatyai (SSC) ini. Memang rugilah kalau tak datang ke sini. Bagi peminat filem-filem aksi, mesti teringin nak tahu bagaimana agaknya rasa memegang senjatakan? Bukan pistol kecil sahaja yang ada di sini, macam-macam lagi jenis senjata yang ada. Senapang, pistol, shotgun dan revolver dalam pelbagai jenis semuanya ada di sini. Dah puas memegang dan memilih senjata pilihan hati, tiba masanya untuk anda cuba menembak di papan target, ini yang bestnya. Dah habis semua peluru, anda boleh membawa balik papan target itu sebagai tanda ingatan betapa powernya tembakan anda. Manalah tahu satu hari nanti bila zombi mula menyerang, inilah waktunya anda memerlukan kemahiran menembak. Kata orang, sediakan payung sebelum hujan. Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm) Alamat: Sports Shooting Club Hatyai (SSC), 29 Soi 11 Poonnakan Rd., Korhong Hatyai Songkhla 90110

Songkhla Thale Noi Waterbird Park

Berdasarkan nama yang diberikan kepada taman ini, Thale Noi Waterbird Park, anda rasa apa tarikan utama di taman ini? Tak lain tak bukan adalah ratusan jenis burung yang terdapat di sekitarnya. Bukan sikit, tapi terdapat dalam 287 spesies burung yang menjadikan Thale Noi Waterbird Park habitat mereka. Waktu yang terbaik untuk anda melihat keindahan alam ini adalah dari bulan Januari hingga April dan datanglah awal pagi untuk mengelakkan pancaran matahari daripada mengganggu saat-saat indah anda di sini. Waktu Operasi: 8.00am – 5.00pm Bayaran (Bot): 500 Baht Alamat: Khaorup Rd., Khao Rup Chang, Muang Songkhla, Songkhla 90000 Thailand

Songkhla Terowong Bersejarah Khao Nam Khang

Bagi pencinta sejarah, inilah lokasi klasik yang mesti anda lawati, Terowong Bersejarah Khao Nam Khang. Di sini anda dapat melihat peninggalan bersejarah yang wujud sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu yang menjadi saksi hubungan antara Thailand, British dan Malaysia. Terowong tiga tingkat ini menjadi tempat tinggal pemberontak komunis pada masa itu. Di samping terowong bersejarah ini, anda juga dapat melihat pameran pelbagai jenis senjata dan barangan harian yang digunakan oleh pihak komunis. Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm) Bayaran: 150 Baht Alamat: Mu 1, Tambon Khlong Kwang, Amphoe Na Thawi, Songkhla, Thailand

Songkhla Taman Negara Khao Nam Khang

Taman Negara Khao Nam Khang adalah sebuah taman negara yang berkeluasan sekitar 220 km persegi terdiri daripada beberapa buah gunung dari Selatan Thailand sehinggalah ke sempadan Malaysia. Antara gunung yang terdapat di dalam taman negara ini adalah Kuan Khao Mai, Kuan Sya dan Khao Nam Kang. Gunung yang tertinggi di Taman Negara Khao Nam Khang adalah Khao Nam Kang yang berketinggian 648 meter dari aras laut. Antara sungai yang mengalir di taman negara yang luas ini adalah Sungai Prik, Sungai Klong Sai Kaow dan banyak lagi. Nak tahu apa lagi yang ada di sini? Rancanglah aktiviti meredah hutan anda di sini, banyak flora dan fauna yang unik menanti untuk diterokai. Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm) Alamat: Amphoe Na Thawi, Songkhla

Hatyai Chang Puak Camp

Gajah dan Thailand, berpisah tiada, di Chang Puak Camp ini anda dapat merasa menaiki gajah yang akan membawa anda menikmati pemandangan sekitar. Di mana lagi anda sekeluarga boleh mendapatkan pengalaman sebegini bukan? Dah puas menaiki gajah, anda sekeluarga juga boleh mencuba aktiviti lain yang ditawarkan di kem ini seperti memanah, ATV, dan menembak. Habis mencuba kesemua tarikan yang ada di sini, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan rawatan spa dan urutan kaki untuk melegakan badan yang dah lenguh seharian beraktiviti. Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am- 5.00pm) Bayaran (Menaiki Gajah): 500 Baht (30 Minit) Alamat: 86, Moo 1, Thoong Yai sub-district, Hat Yai district, Songkhla

Hatyai Masjid Pusat Songkhla

Masjid yang menjadi simbol kewujudan masyarakat Muslim di Songkhla, Masjid Pusat Songkhla adalah masjid yang terbesar di sini. Masjid ini agak terkenal bukan hanya kerana saiznya yang besar malahan adalah kerana fungsinya yang juga menjadi tempat pernikahan ramai orang yang datang ke Thailand. Jangan tak tahu, Thailand juga popular untuk mereka yang ingin bernikah ya, bukan untuk melancong sahaja. Tidak jauh dari masjid ini adalah pasar terapung yang hanya 5 ke 10 minit berjalan kaki dari masjid. Alamat: Khlong Hae, Hat Yai District, Songkhla 90110, 352 Lopburi Ramesuan Rd, Moo 10, Khlong Hae, Thailand